Bekas atlet olahraga paralimpik kebangsaan Mohd Raduan Emeari dan ibuny, Normah Hassan melihat barangan keperluan harian yang diterima sumbangan CSR MBI di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBI bantu bekas pelari pecut para, hulur wang tunai dan bekalan makanan

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tampil membantu bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari hari ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menyumbang wang tunai serta bakul makanan bagi meringankan beban bekas pelari pecut itu.

“Kita tahu kisah Mohd Raduan ini dari media sosial dan berusaha mengesannya. Bila dah jumpa kita datang membantu bersama pihak lain antaranya pihak Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Bantuan ini juga merupakan kesinambungan sumbangan kepada beberapa bekas atlet dan selebriti yang berdepan kesusahan sebelum ini,” katanya selepas melawat Mohd Raduan.

Kisah atlet berusia 39 tahun yang kini bekerja di stesen minyak di Kuala Selangor sebelum ini tular di media sosial.

Mohd Raduan yang juga bekas atlet Selangor mewakili Malaysia di temasya Sukan Para Asean Filipina 2005, Korat 2007, Solo 2011, Naypyitaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Beliau juga beraksi pada Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014 selain Paralimpik Beijing 2008.

Sementara itu, Ahmad Azri berkata dua lagi selebriti akan dibantu dalam masa terdekat iaitu Ali XPDC yang mengalami masalah jantung tersumbat serta bintang legenda negara Datuk Jeffrydin.

Sebelum ini MBI menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif; pemain gitar kumpulan Search, Kid dan pelawak Hamid Gurkha.

 


Pengarang :