100 pek barangan makanan yang disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Melangor (KERISEMAS) di Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 2 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBI belanja RM800,000 sediakan bakul makanan sejak awal tahun

SHAH ALAM, 2 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan sebanyak RM800,000 bagi penyediaan bakul makanan sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata bantuan kepada golongan memerlukan hasil kerjasama 50 badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan pusat khidmat masyarakat.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan usaha yang turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak termasuk agihan 6,000 baucar di pasar raya 99 Speed Mart dan KK Super Mart.

“Setiap baucar bernilai RM50 bagi membantu penerima mendapatkan barangan keperluan. Proses agihan secara dua peringkat dan kita dibantu 150 ahli majlis dari beberapa PBT.

Ahmad Azri Zainal Nor

“Akan datang kita akan sumbang barangan basah kepada golongan sasar sebagai langkah meringankan beban mereka,” katanya selepas menyerahkan bakul makanan kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Azri berkata pemberian bakul makanan akan dikhususkan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selepas ini.

“Kita sudah serahkan kepada penduduk PKPD Sabak Bernam dan Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah selaras jaminan Dato’ Menteri Besar untuk hulur bantuan dalam tempoh 48 jam selepas dikenakan PKPD,” katanya.

Pada 12 Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan agihan bekalan bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang dikenakan PKPD tidak lebih daripada 48 jam.


Pengarang :