Selangorkini
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Ahmad Azri Zainal Nor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang RM50,000 kepada pusat jagaan haiwan terbiar

AMPANG, 23 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI semalam menyumbang RM50,000 kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata pemberian itu untuk menjayakan program Stray Free Selangor (SFS) yang dinaungi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai usaha memelihara haiwan terbiar seperti kucing dan anjing.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan pihaknya tidak hanya tertumpu kepada manusia sahaja sebaliknya juga untuk haiwan serta alam sekitar.

“Kita berbangga kerana dapat bersama-sama menjayakan program SFS. Ini juga merupakan sumbangan pertama MBI kepada haiwan.

“Kita ada merancang untuk mendermakan sejumlah wang kepada haiwan terancam seperti tapir yang ada di Zoo Negara sebagai langkah memelihara spesis itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat SPCA serta menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi SPCA, Christine Chin.

Sementara itu ahli jawatankuasa SPCA Nancy Lee berkata wang itu digunakan untuk perbelanjaan selain menambah baik kemudahan pusat jagaan terbabit.

“Setiap bulan SPCA terima 300 ekor anjing dan kucing dari orang awam. Jadi kos makanan serta perubatan haiwan ini agak besar.

“Kita juga rancang gunakan derma ini untuk menambah bilik dan ruang bagi menempatkan kedua-dua haiwan yang ada,” katanya.


Pengarang :