Vokalis XPDC Mohd Ali Ismail (kiri) dan dua anaknya melihat barangan keperluan harian yang diterimanya dalam program lawatan dan sumbangan CSR MBI di Kampung Rantau Panjang, Klang pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI sumbang wang tunai, bantuan makanan kepada vokalis XPDC

PELABUHAN KLANG, 15 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tampil menghulurkan sumbangan kepada vokalis kumpulan rock terkenal XPDC yang mengalami masalah jantung tersumbat dan semput.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkata bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan itu bagi meringankan kesempitan dihadapi Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 53.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

“Baru-baru ini kita dimaklumkan penyanyi ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung. Memandangkan dia seorang selebriti, berita tersebut tular begitu pantas dan cuba menghubunginya untuk serahan bantuan.

“Difahamkan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu membiayai kos rawatan di hospital selain mendaftarkannya sebagai asnaf,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui di kediaman penyanyi terbabit di Kampung Rantau Panjang dekat sini hari ini.

Azri berkata pihaknya juga bersedia untuk memberi sumbangan kepada sebuah pusat tahfiz yang mengangkat vokalis terbabit sebagai duta.

“Kita faham keperluan pusat tahfiz dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketiadaan pelajar dan mereka masih memerlukan bayaran untuk penyelenggaraan.

“Jadi, kemungkinan ada sumbangan kepada pusat tahfiz berkenaan yang terletak berhampiran kediaman selebriti ini, apatah lagi ia berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya lagi.

Penyanyi kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail

Bekas vakolis Terra Rossa itu juga mengakui bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan MBI termasuk LZS dan individu yang tidak putus-putus memberi bantuan.

Bapa kepada lima cahaya mata turut memaklumkan beliau masih lemah meskipun dibenar keluar hospital pada 9 September lalu dan dinasihatkan untuk makan ubat mengikut jadual.

“Alhamdulillah, keadaan semakin baik berbanding sewaktu awal-awal dimasukkan ke hospital 2 September lalu, cuma belum stabil sepenuhnya dan doktor menyarankan supaya disiplin makan ubat tiga kali sehari,” katanya yang akan menjalani rawatan susulan tiga minggu lagi.

Ali dilaporkan mengalami masalah pernafasan selepas beliau terlibat dalam insiden disambar api pada 26 Mac tahun lalu.

Rentetan kemalangan terbabit, Ali mengalami kecederaan serius apabila muka dan tangannya melecur sehingga 30 peratus.


Pengarang :