PBTSELANGOR

MBSJ galak pelanggan perbaharui lesen niaga, iklan dalam talian

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggalakkan pelanggan memperbaharui lesen perniagaan dan iklan 2022 secara dalam talian menerusi portal Ezy MBSJ bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata pembayaran mudah tanpa daftar masuk melalui pautan https://ezy.mbsj.gov.my/lesen boleh dibuat mulai 1 Oktober sehingga 7 Januari tahun depan.

“Pembaharuan lesen dengan kaedah norma baharu amat digalakkan berbanding pilihan secara bersemuka di kaunter MBSJ bagi mengurangkan aktiviti secara fizikal dalam tempoh pandemik.

“Inisiatif disediakan memberi manfaat kepada pelanggan kerana dapat menjimatkan kos dan mereka bebas melaksanakan transaksi di mana-mana sahaja tanpa waktu yang terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Menurut Noraini, tatacara pembaharuan dan pembayaran melalui portal berkenaan juga disediakan sebagai pemudahcara kepada pelanggan.

“MBSJ menyediakan borang janji temu jabatan pelesenan melalui platform google form bagi pelbagai saluran pertanyaan berkaitan isu pelesenan termasuk informasi pembaharuan lesen atau permit lain-lain kategori,” katanya.


Pengarang :