PBTSELANGOR

MDSB: Hanya individu lengkap vaksin dibenar masuk pasar pagi, malam

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) hanya membenarkan individu lengkap vaksin dan genap tempoh matang 14 hari suntikan sahaja masuk ke pasar pagi dan malam.

Pegawai Komunikasi Korporatnya Noraini Ahmad berkata sekiranya gagal mematuhi peraturan itu tindakan kompaun sehingga RM2,000 akan dikenakan.

“Pelanggan yang ingin masuk ke kawasan pasar pagi dan malam mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada pegawai yang bertugas. Syarat sama turut dikenakan kepada peniaga.

“Kita harap dengan cara ini dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 sekali gus menggalakkan lebih ramai mengambil vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang, Kamarul Izlan Sulaiman memaklumkan individu berusia bawah 18 tahun tidak dibenar masuk ke pasar pagi dan malam.

“Syarat ini dibuat sebagai perlindungan kerana mereka belum divaksin disamping mengelak penularan wabak,” katanya.

Sebanyak 25 pasar pagi dan malam di Kajang kini telah beroperasi sejak pertengahan Ogos dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Bermula 16 Ogos, kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut.


Pengarang :