Guru bertugas menyukat suhu badan murid Tabika Kemas Kampung Bukit Kuda, Labuan sebelum masuk ke kelas ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri pendidikan: Lantik segera 18,000 guru, atasi kekurangan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Masalah kekurangan 21,564 guru di sekolah seluruh negara akan diatasi dengan pelantikan 18,702 guru yang diambil secara ‘one off’ dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata pemilihan guru Gred GD41 itu sedang dilaksana Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selepas kerajaan mengumumkan perkara berkenaan pada 20 Jun lalu.

Jelasnya baki 2,862 kekosongan akan dilantik secara proses biasa oleh SPP.

“Keutamaan diberi pemohon mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan dari universiti awam, swasta dan dari luar negara selain mematuhi padanan kluster.

“Sekiranya bilangan calon itu tidak mencukupi, SPP akan membuat lantikan secara kontrak di kalangan pemohon tidak mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai langkah kerajaan mengatasi kekurangan guru pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata kementerian juga sedang dalam proses mengeluarkan surat pekeliling garis panduan baharu berhubung pertukaran guru yang kali terakhir dikemaskini pada 1975.


Pengarang :