Renjer Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berbasikal memeriksa sijil vaksin di aplikasi MySejahtera pengunjung bagi memantau tatacara operasi piawai (SOP) di Tasik Shah Alam pada 28 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Mohon CITF benarkan sijil digital SELangkah jadi dokumen pengesahan sementara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Selangor memohon Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sijil digital Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) digunakan sebagai dokumen pengesahan buat sementara waktu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia susulan aduan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang belum memperoleh sijil pengesahan di aplikasi MySejahtera walaupun sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurutnya setakat semalam, SELangkah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.

Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dikhuatiri angka sebenar lebih ramai. CITF menjelaskan MIMOS Berhad (MIMOS) menghadapi masalah teknikal untuk mengintegrasi data peserta Selvax ke sistem MySejahtera.

“MIMOS juga perlukan masa mengatasi masalah itu namun tidak dapat memberi kepastian bila isu ini dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membawa saranan itu ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Kita masih menunggu maklum balas dan berharap cadangan diluluskan segera demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya.

Pada Mac kerajaan memaklumkan individu lengkap vaksinasi diberikan sijil digital di MySejahtera sebagai bukti pengambilan vaksin dan ia menjadi keperluan pada masa depan.

Ketika ini kerajaan memberi kelonggaran kepada individu lengkap pelalian antaranya boleh berjemaah di masjid serta makan di kedai.


Pengarang :