Pengunjung melakukan aktiviti mendaki di Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 16 Jun 2020 selepas kawasan itu dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Mohon permit, patuhi SOP jika buat aktiviti di hutan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan kebenaran atau permit daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang aktiviti di hutan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata tindakan itu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin jika berlaku perkara tidak diingini.

“Jika mendapat kebenaran maklumkan juga kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau balai polis berdekatan supaya jika terjadi apa-apa, gerakan untuk menyelamat dapat segera dilaksanakan,” kata Saifuddin Shafii kepada Selangorkini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberi dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Meskipun kita sudah masuk fasa yang membenarkan aktiviti rekreasi tetapi kita perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Awal bulan ini, kerajaan melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi termasuk negeri bawah fasa satu PPN.

 


Pengarang :