EXCO Kerajaan Negeri Ng Sze Han mendengar penerangan pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai projek pembangunan yang akan dijalankan di Ampang. Foto Facebook MPAJ
EXCOSELANGOR

MPAJ kesan tapak sesuai untuk bina krematorium

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenal pasti satu lokasi sesuai untuk dijadikan tapak krematorium atau pusat pembakaran mayat.

EXCO kerajaan tempatan berkata bagaimanapun lokasi seluas 9.8 ekar di Lot 208, Mukim Hulu Kelang itu dalam proses penambahan kelas guna tanah memandangkan tapak terbabit untuk jirat Cina atau Buddha.

“MPAJ dalam proses mengemukakan permohonan penambahan fungsi tapak kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan krematorium dibina di kawasan itu.

“Selepas mendapat kelulusan kerja pembinaan akan dilaksanakan segera,” kata Ng Sze Han selepas melawat tapak berkenaan bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sze Han berkata setakat ini hanya empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menetapkan semua PBT menyediakan sekurang-kurangnya satu krematorium dalam kawasan masing-masing selain perlu mengenakan harga berpatutan untuk perkhidmatan,” katanya.

Pada 30 Ogos ketika sidang Dewan Negeri Selangor, Sze Han mengarahkan semua PBT mengambil tindakan segera berhubung tapak kompleks tersebut khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.


Pengarang :