Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim melawat ke program vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru pada 22 September 2021. Foto ihsan Dato’ Teng Chang Khim
EXCOSELANGOR

MPK diarah naik taraf pasar awam lebih moden, selesa

KLANG, 22 SEPT: Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menaik taraf semua pasar awam kepada pasar yang lebih moden, bersih dan selesa.

EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata pengubahsuaian itu perlu setanding dengan kemunculan infrastruktur baharu di daerah tersebut iaitu Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

“MPK telah diarahkan untuk mengkaji naik taraf keseluruhan pasar awam. Tiada guna ada LRT yang cantik dan canggih tetapi keadaan pasar ‘uzur’ atau kurang menarik.

“Kita mahu pasar awam yang boleh memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung. Malah, bukan sahaja menjadi tarikan penduduk Klang tetapi masyarakat luar juga tertarik untuk datang,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang berkata demikian ketika membuat lawatan ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru di sini hari ini.

Sebelum ini, Chang Khim mengumumkan Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan semula blok C dan D Kompleks Pasar Besar Meru dengan kos bernilai RM8 juta yang dijangka siap pada 2024.

Blok itu dibina semula kerana pernah diroboh bagi memberi ruang pembangunan projek LRT3.


Pengarang :