Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu rumah yang dijadikan kedai runcit tanpa lesen oleh warga asing pada 5 September 2021. Foto MPK
PBTSELANGOR

MPK serbu rumah, warga asing jalan perniagaan runcit tanpa lesen

SHAH ALAM, 6 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi perniagaan haram oleh beberapa warga asing di Taman Indah Sungai Pinang, Jalan Kapar, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasanya Shahrul Hazri Abd Majid berkata hasil siasatan mendapati warga Myanmar itu menjalankan operasi kedai runcit tanpa lesen di kediaman terbabit.

“Kami menyita semua barang tred di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan MPK 2007.

“Kami akan memperhebatkan operasi ini dari semasa ke semasa terutama bagi membanteras perniagaan yang dijalankan oleh individu bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Shahrul Hazri berkata pemilik premis juga diminta peka dengan kediaman milik mereka yang disewakan kepada warga asing bagi mengelak perkara sama berulang.

“Warga asing mengambil kesempatan dengan sikap pemilik premis yang membiarkan mereka menjalankan perniagaan walaupun sedar ia merupakan kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, MPK mengeluarkan 86 kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen sepanjang Ogos lalu termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap 305 premis dalam tempoh sama.


Pengarang :