Selangorkini
MPS menyita sebuah cafe di Desa Aman Puri, Kepong pada 10 September 2021 selepas disyaki menjalankan aktiviti hiburan. Foto ihsan MPS
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS sita kafe di Kepong langgar SOP PPN fasa dua

SHAH ALAM, 13 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita sebuah kafe di Desa Aman Puri, Kepong pada Jumaat selepas disyaki menjalankan aktiviti hiburan.

Pengarah Jabatan Korporat Mohamad Zin Masoad berkata tindakan kafe itu melanggar syarat lesen dan tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa dua.

“Serbuan dilakukan selepas menerima aduan premis beroperasi dalam keadaan curiga apabila menggunakan pintu belakang sebagai laluan masuk dan keluar.

“Justeru, MPS menyita premis dengan merampas kerusi, meja, peti ais, speaker, televisyen dan arak di bawah Undang-Undang Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian( MPS) 2007 dan Undang- Undang Kecil Establishment Makanan (MPS) 2007,” katanya menerusi kenyataan.

MPS menyita barangan penjaja di sekitar Selayang Jaya pada 10 September 2021. Foto ihsan MPS

Selain itu, beliau berkata MPS juga turut membuat sitaan terhadap penjaja di sekitar Selayang Jaya pada sebelah petang pada hari yang sama.

Mohamad Zin berkata tindakan itu diambil berikutan aduan diterima kerana menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kesulitan untuk orang ramai meletakkan kereta di petak parkir.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, hanya tiga orang penjaja sahaja yang mempunyai permit manakala kebanyakannya tidak mempunyai permit yang sah dengan MPS.

“Sitaan ke atas barangan perniagaan 10 orang penjaja haram di Selayang Jaya mengikut Undang-Undang 3 Penjaja (MPS) 2007 ini telah dijalankan oleh 75 anggota penguat kuasa MPS,” katanya.


Pengarang :