Ketua Seksyen Saliran MBSA Datuk Feroz Hanif Mohamed Ahmad (kanan) menerangkan cadangan menaik taraf sistem saliran kepada ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar (kiri) susulan banjir kilat di sekitar Taman Mesra, Seksyen U1 Shah Alam pada 27 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Naik taraf longkang sekitar Taman Mesra, atasi banjir kilat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merancang naik taraf longkang sekitar Taman Mesra, Seksyen U1 dekat sini bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Ketua seksyen saliran jabatan kejuruteraan berkata pihaknya juga bakal membesarkan rumah pam supaya mampu menampung kapasiti air sekiranya hujan lebat.

“Kawasan ini terbabit kajian fasa satu mengatasi banjir pada 2017. Ketika itu kita bina beberapa kolam sekitar Seksyen 13.

“Jadi kita teruskan dengan fasa dua ini apabila peruntukan diluluskan,” kata Datuk Feroz Hanif Mohamed Ahmad.

Beliau ditemui selepas menyertai lawatan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah di kawasan berkenaan.

Feroz Hanif berkata beberapa kawasan rendah dalam pentadbiran MBSA dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dengan julat taburan 148 milimeter lebih lima jam petang semalam.

“Hujan melibatkan kawasan di lembangan Sungai Klang menyebabkan air Sungai Damansara melimpah,” katanya.

Sementara itu Maria menasihati penduduk supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang bagi mengelakkan sistem saliran tersumbat hingga menyebabkan banjir.

“Harap rancangan MBSA menaik taraf longkang berjalan lancar dan mampu atasi masalah banjir ini,” katanya.


Pengarang :