Taman Botani Negara Shah Alam dibangunkan di atas tapak Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan yang diwartakan pada 2007. Foto Facebook Taman Botani Negara Shah Alam
AGENDANASIONAL

Nyahwarta sejak 2006, Kerajaan Negeri pastikan pembangunan patuhi peraturan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) berlaku di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), menurut EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian memaklumkan kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan yang ditularkan adalah sebahagian daripada kawasan yang terlibat dengan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Ianya telah dinyahwartakan bagi tujuan pemberimilikan pada 2006 melalui PW1443.

“Justeru, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pada masa kini tidak lagi mempunyai bidang kuasa yang khusus dalam aspek pengurusan dan pembangunan di kawasan tersebut kerana ianya bukan berstatus tanah HSK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata kawasan HSK yang terhampir dengan pembangunan iaitu Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

“Hutan Simpan Bukit Cherakah telah diwartakan sebagai HSK pada 1909 seluas 23,826 ekar. Ia mengalami beberapa kali penyahwartaan sejak 1976 bagi tujuan pembangunan seperti Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, UiTM Puncak Alam, dan lain-lain.

“Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 3,208 ekar dan masih diuruskan JPNS sebagai kelas Hutan Perlindungan,” katanya.

Tambah beliau pada 2007, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah dinyahwartakan tersebut telah diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan dengan keluasan 2,427.51 ekar.

“Kawasan hutan simpan ini juga dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam, Daerah Petaling.

“Pada dasarnya, dengan keluasan HSK sedia ada ini adalah masih mencukupi bagi tujuan riadah di kalangan masyarakat tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri pada masa kini akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan tersebut mematuhi prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa kini.

“Antaranya adalah seperti keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Perintah Alam Sekeliling 2015 dan Kelulusan Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya.

Terdahulu isu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan SACF ditularkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar serta turut dilaporkan beberapa portal berita beberapa hari lalu.

 


Pengarang :