Orang ramai beratur menunggu giliran menempah makanan di salah sebuah kedai makan Seksyen 6, Shah Alam pada 14 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Operasi restoran, kedai serbaneka dibenar hingga 12 malam mulai esok

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan membenarkan premis perniagaan seperti restoran dan kedai serbaneka dibuka dari 6 pagi hingga 12 tengah malam bermula esok.

Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

Selain itu beliau berkata kedai runcit, pasar mini dan stesen minyak juga dibenarkan beroperasi dalam tempoh sama.

“Keputusan ini juga berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamtan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan pekerja lengkap divaksin.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP), pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.

Kelonggaran diberikan itu adalah kepada semua negeri tanpa mengira fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Pengarang :