Selangorkini
Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Pantai Morib, Banting selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan pada 11 September 2021 . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diminta peka, waspada perubahan cuaca ketika riadah

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Orang ramai yang berhajat melakukan aktiviti riadah dan berkelah diminta peka terhadap sebarang perubahan cuaca dan persekitaran berikutan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad berkata orang ramai perlu berwaspada terutama apabila melakukan aktiviti seperti mendaki dan berkelah di kawasan pantai atau air terjun.

Beliau berkata sikap sambil lewa dan memandang ringan terhadap situasi arus deras dan angin kencang merupakan antara punca berlakunya kemalangan di kawasan pantai dan air terjun.

“Orang ramai perlu beri perhatian terhadap sebarang perubahan air jika berkelah di kawasan air terjun untuk elak terperangkap akibat kepala air, terutama jika berlaku hujan pada hari sebelumnya. Jika lihat ada banyak ranting kayu, dahan pokok dan daun dibawa arus, mereka perlu hentikan aktiviti mandi-manda dan pergi ke kawasan selamat kerana ia petanda awal kejadian kepala air.

“Sekiranya berlaku hujan atau angin kuat, dinasihatkan kepada mereka yang berkelah di pantai atau air terjun untuk tidak meneruskan aktiviti di dalam air kerana kekejangan akan mudah berlaku berikutan air bertambah sejuk, ini merupakan faktor menyumbang kepada kejadian lemas,” katanya kepada Bernama.

Nor Hisham berkata penggemar aktiviti mendaki juga perlu berhati-hati berikutan hujan yang kerap ketika ini menyebabkan laluan mendaki menjadi licin dan berbahaya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan JBPM bagi menghadapi fasa peralihan monsun dan Monsun Timur Laut yang akan datang, Nor Hisham berkata kebanyakan anggota JBPM akan diarah bertugas dan hanya 20 peratus daripadanya dibenarkan mengambil cuti.

“Ini bermakna dalam setiap syif yang terdiri daripada sembilan orang, hanya seorang sahaja anggota dibenarkan bercuti. JBPM akan memberi fokus terhadap enam negeri yang dijangka akan menerima taburan hujan yang tinggi iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Anggota JBPM dari negeri-negeri lain juga akan diarah bersiap sedia untuk membantu negeri yang teruk dilanda banjir sekiranya diperlukan,” katanya.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga awal November ini.

Monsun Timur Laut dijangka membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan.

-BERNAMA


Pengarang :