Kerja pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, Shah Alam telah siap dilaksanakan pada 24 September 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Paip pecah: Bekalan air enam seksyen disalur secara berperingkat pagi ini

SHAH ALAM, 24 SEPT: Bekalan air di enam kawasan yang terjejas berikutan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 di sini mula disalur secara berperingkat jam 6.15 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bekalan dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari.

Enam kawasan terjejas meliputi Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25.

“Kerja-kerja pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, siap dilaksanakan jam 6 pagi. Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” maklum pengurusan itu.

Pengurusan itu juga menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di pusat bantuan melalui laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :