Kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PAKATAN) memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti di Dewan Bankuet, Parlimen pada 13 September 2021. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

PAKATAN pantau persefahaman enam perkara, laksana perubahan menyeluruh

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal komited memastikan ketelusan isi kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama kerajaan persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan semasa garis tindakan yang dipersetujui dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan terus dipantau.

“Sepertimana yang telah ditandatangani dalam MoU, PAKATAN akan terus memberi sokongan dalam isu Covid-19 dan kesihatan rakyat sejagat demi menstabilkan kerajaan dan ekonomi,” katanya menerusi Facebook.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama demi menyelamatkan negara.

“Hari ini menandakan pembukaan Parlimen 2021 dengan penuh istiadat. Saya percaya setiap daripada kita yang hadir hari ini hanya mengutamakan kepentingan rakyat.

“Inilah masanya kita semua dapat mencapai titik persamaan dan melaksanakan perubahan yang menyeluruh demi menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Hari ini, kerajaan persekutuan dan PAKATAN melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

 


Pengarang :