Kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PAKATAN) memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti di Dewan Bankuet, Parlimen pada 13 September 2021. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

PAKATAN terus main peranan semak dan imbang, kerjasama isu rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) terus berperanan sebagai pembangkang yang melakukan semak dan imbang meskipun memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gabungan itu tidak berganjak dari peranan berkenaan dan menolak dakwaan pihaknya akan membenarkan segala tindakan kerajaan.

Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah Mou, bukan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA).

“PAKATAN menolak tawaran serupa untuk bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bekas perdana menteri mahukan CSA yang menuntut kami menyokong dan mengabsahkan kerajaan.

“Persefahaman dengan kerajaan sekarang menekankan peranan kita sebagai pembangkang dan kita boleh menolak jika tidak ada rundingan,” katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata dalam MoU itu, tidak ada syarat PAKATAN mesti menyokong kerajaan sekarang sekiranya berlaku undi percaya.

“Tetapi kita tidak mahu isu itu yang terkait dengan keabsahan membatalkan usaha kerjasama dalam bidang utama untuk mengatasi isu Covid-19 dan ekonomi.

“Sebab itu saya sebut walaupun kami tidak setuju untuk tidak meneruskan undi percaya, kami tetap bekerjasama untuk membincangkan soal MoU,” katanya.

Semalam PAKATAN dan kerajaan persekutuan melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.


Pengarang :