Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Pantai Morib, Banting pada 11 September 2021 selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAJENAYAHPILIHAN MINGGUAN

Pantai Morib jadi pilihan bawa anak, hilang bosan terkurung dalam rumah

BANTING, 12 SEPT: Orang ramai menyambut baik kelonggaran rentas daerah diberikan kerajaan yang dengan membawa keluarga masing-masing menjalankan aktiviti sosial terutama berkunjung ke pantai.

Johari Ismail, 57

Penjawat awam Johari Ismail, 57, berkata beliau memilih Pantai Morib sebagai destinasi pilihan kerana sesuai untuk membawa anak-anak dan jarak dekat dengan kediamannya di Putrajaya.

“Saya memang ada perancangan untuk membawa keluarga berkelah di Pantai Morib bersama adik bagi melepas kebosanan anak-anak.

“Apabila tiba jam 10 pagi pengunjung mula ramai dan kebanyakan membawa keluarga masing-masing, tetapi saya lihat orang ramai masih mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” katanya kepada SelangorKini.

Eksekutif pemasaran syarikat fesyen Nur Salimah Mohamad Yusri,31, berkata setiap tahun beliau bersama tiga rakannya akan pergi melancong tetapi suasana berlainan pada tahun ini.

Nur Salimah Mohamad Yusri, 31

“Saya mengambil keputusan mengajak kawan-kawan ke Pantai Morib, Bukit Jugra dan pergi ke kilang kerepek yang popular di Banting.

“Untuk berkelah saya membuat persiapan membeli khemah dan rakan-rakan lain membawa dapur dan menyediakan bahan masakan,” katanya.

Kelmarin, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.


Pengarang :