Atlet olahraga paralimpik negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (kanan) beraksi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada 4 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Paralimpik Tokyo: Dek Wan tamatkan saingan pada kedudukan keempat

TOKYO, 4 SEPT: Atlet olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang untuk mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 dalam peringkat akhir acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

Mohamad Ridzuan yang berlari di lorong kelima menamatkan aksinya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat (s) dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik itu.

Walaupun memulakan larian dengan baik, Mohamad Ridzuan dilihat tidak berupaya untuk mengekalkan daya pecutannya terutama pada 10m terakhir lariannya.

Situasi itu menyebabkan pelari berusia 33 tahun yang lebih dikenali ‘Dek Wan’ itu terpaksa pulang dengan tangan kosong pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda menerusi emas selain memecahkan rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam saingan sesi pagi olahraga hari ini.

James terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s manakala gangsa milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

-BERNAMA


Pengarang :