Rodziah Ismail menyerahkan pembelian makanan asas kepada penduduk terpilih melalui inisiatif Pasar Mesra di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Shah Alam pada 5 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pasar Mesra: Bayar serendah RM20, dapat barangan dapur RM60

SHAH ALAM, 5 SEPT: Penduduk kawasan perumahan kos rendah di negeri ini berpeluang mendapatkan pelbagai barangan asas serendah RM20 melalui inisiatif Pasar Mesra.

EXCO kesejahteraan bandar berkata barangan meliputi dua ekor ayam, telur dan aneka sayuran serta buah-buahan, dijual tiga kali ganda murah berbanding harga pasaran.

Rodziah Ismail menjelaskan usaha itu selaras saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu wakil rakyat membawa kelainan dalam agihan bantuan.

“Kita mewujudkan Pasar Mesra ini bagi membantu penduduk di kawasan kos rendah yang rata-ratanya terkesan disebabkan pandemik Covid-19.

“Selain pemberian bakul makanan, kali ini kita ubah sedikit kepada kaedah jual beli tetapi mereka (pembeli) hanya perlu membayar RM20 untuk nilai barangan RM60,” katanya selepas meninjau pasar tersebut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom hari ini.

Program tersebut turut melibatkan kerjasama antara Bingkisan Mesra Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Rodziah berkata inisiatif yang terhad kepada 200 peserta itu akan diperluas ke lapan lokasi lain antaranya Seksyen 19 dan 20 di Shah Alam, Ampang, Klang dan Kajang.

“Kita amat mengalu-alukan jika ada syarikat korporat yang ingin membantu rakyat terkesan dan boleh bekerjasama dengan pihak kami menerusi inisiatif ini,” katanya.


Pengarang :