Pesakit Covid-19 yang koma terlantar di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pasukan khas ditubuh hantar segera alat kesihatan ke negeri kritikal

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan khas bagi menghantar segera bekalan peralatan kesihatan ke negeri yang merekodkan peningkatan kes Covid-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang hospitalnya tidak mempunyai kemudahan lengkap seperti katil dilengkapi oksigen.

“Kita akan tubuhkan pasukan penghantaran segera di mana modular unit rawatan rapi (ICU) dan oksigen dapat dihantar secepat mungkin.

“Ini sebagai persediaan sekiranya berlakunya peningkatan kes di negeri lain (luar Lembah Klang) susulan kemunculan varian baru,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung langkah kerajaan mengatasi masalah kekurangan kemudahan kesihatan seperti oksigen di beberapa negeri termasuk Sabah.

Sementara itu, Khairy berkata KKM menyasarkan nisbah katil hospital kepada satu ribu penduduk pada kadar 2.08 pada akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurutnya, setakat tahun lalu nisbahnya adalah 2.01 di mana bilangan katil meningkat daripada 55,952 katil pada 2016 kepada 65,508 katil pada 2020.

“Kerajaan akan meneruskan usaha menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.

“Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil yang tinggi,” katanya.


Pengarang :