Suasana sepi ketika tinjauan Bernama di sekitar Pantai Chenang, Langkawi pada 24 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelancong seluruh negara boleh ke Langkawi kecuali dari kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Pelancong domestik yang memenuhi kriteria tatacara operasi piawai (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 September ini.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu.

Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

“Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.

— BERNAMA

 


Pengarang :