Pengunjung mengunjungi pusat membeli-belah untuk membeli pakaian sebagai persiapan akhir menyambut Aidilfitri pada tinjauan di sebuah pusat membeli belah pada 12 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelanggan dibenar guna bilik acu pakaian di negeri fasa satu, dua

PUTRAJAYA, 12 SEPT: Pelanggan kedai pakaian, fesyen dan aksesori termasuk gedung serba-serbi di negeri Fasa Satu dan Dua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan menggunakan bilik acu pakaian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tatacara operasi piawai (SOP) untuk menggunakan bilik acu pakaian itu merangkumi penyediaan sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan.

Kedai pakaian, fesyen dan aksesori telah dibenarkan beroperasi sejak 16 Ogos lepas namun kemudahan acu pakaian tidak dibenarkan ketika itu.

Nanta dalam satu kenyataan hari ini berkata kedai bunga dan nurseri serta kedai aktiviti luar termasuk peralatan perkhemahan dan memancing turut dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dengan SOP tempoh masa pelanggan dalam premis dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.

Mengenai kelonggaran di negeri Fasa Dua, beliau berkata kemudahan pandu uji kenderaan dibenarkan di pusat pengedaran dan jualan kenderaan, manakala bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, penggunaan sampel penguji hanya dibenarkan dengan khidmat rundingan oleh pakar runding atau pekerja.

Nanta berkata semua aktiviti perkhidmatan di kedai gunting rambut, penggaya rambut dan salun atau pusat kecantikan dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Tiga PPN.

Negeri di bawah Fasa Satu PPN adalah Kedah dan Johor; Fasa Dua terdiri daripada Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; manakala Fasa Tiga adalah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.

“Pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan kesemua sektor di bawah sektor perdagangan pengedaran, pemborongan dan peruncitan tidak memberi kesan kepada penularan semula wabak Covid-19 dalam negara,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA


Pengarang :