Kakitangan LUAS memeriksa sampel kualiti air yang dicemari sisa kimia hingga menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih. Foto ihsan pejabat EXCO alam sekitar
EXCOSELANGOR

Pelepasan sisa kimia punca henti tugas LRA Sungai Semenyih

SHAH ALAM, 1 SEPT: Pencemaran bau yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih semalam disyaki berpunca daripada pelepasan sisa kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab.

EXCO alam sekitar berkata penemuan awal itu berdasarkan pensampelan kualiti air oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di muka sauk Jenderam Hilir, Jambatan Sungai Semenyih dan Sungai Rinching.

“Ia dipercayai berlaku antara jam 1 ke 7 pagi berikutan pada ketika itu paras air sungai adalah tinggi susulan hujan lebat di bahagian hulu pagi semalam,” kata Hee Loy Sian dalam kenyataan.

Beliau berkata LUAS membuat pemantauan statik bagi memastikan tiada kesan bau selain menjalankan pensampelan di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir setiap sejam.

“Pensampelan ujian bau yang dijalankan berdasarkan pemantauan statik menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah sifar ton,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Loy Sian berkata pihaknya akan membuat pemeriksaan bersepadu terhadap premis berkaitan efluen di bahagian Hulu Sungai Semenyih bagi mengelak insiden sama berulang.

Katanya, tindakan selaras Seksyen 79(1)(a) Enakmen Luas (Pindaan) 2020 dengan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.

Insiden itu menyebabkan 323,623 pemegang akaun di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :