Sungai Batang Kali di Hulu Selangor yang pada ketika ini masih dikategorikan sebagai Kelas 2 air bersih yang menetapkan air memerlukan rawatan konvensional serta boleh digunakan untuk rekreasi. 23 Sept 2021. Foto BERNAMA
RENCANA

Pelihara ekosistem Sungai Batang Kali tanda kualiti air kekal baik

LAPORAN khas di portal Bernama semalam (23 September 2021), melaporkan Sungai Batang Kali berpotensi akan tercemar ekoran daripada aktiviti akuakultur (Tilapia Merah) untuk tujuan komersial selain beberapa projek pembangunan lain di kawasan berhampiran sungai tersebut.

Agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor memandang serius dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap insiden pencemaran diambil tindakan segera bagi memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara.

Berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor (2019-2023), guna tanah utama adalah kawasan hutan (51.70 peratus) dan diikuti kawasan pertanian (35.67 peratus).

Walau bagaimanapun berikutan kepesatan pembangunan bagi tujuan kelangsungan hidup, terdapat beberapa aktiviti yang melibatkan kerja tanah bagi tujuan pembangunan, penternakan, akuakultur, pengorekan dan pencucian pasir, pertanian, perumahan dan eko-pelancongan di kawasan Sungai Batang Kali.

Berdasarkan rekod Majlis Daerah Hulu Selangor (2016) terdapat tujuh resort/chalet/inap desa di kawasan tersebut yang mana kedudukannya berhampiran Sungai Batang Kali dan Sungai Tamu.

Semakan awal LUAS mendapati premis yang menjalankan aktiviti akuakultur (Talapia Merah) yang berkeluasan 0.41 hektar berhampiran Sungai Batang Kali tersebut berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS) dan telah beroperasi selama 10 tahun dengan anggaran 29 kolam selain
mempunyai Lesen Abstraksi Air LUAS yang masih sah sehingga 31 Disember tahun ini.

Semakan juga mendapati aktiviti premis berkenaan tidak tertakluk dengan Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar LUAS kerana keluasannya kurang 50 hektar.

Segala aktiviti lain yang melibatkan sumber air di kawasan Sungai Batang Kali telah dilesenkan oleh LUAS di bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 yang mana melibatkan tiga aktiviti pencucian pasir dan dua aktiviti penternakan selain babi (ayam).

Pihak LUAS juga telah mengeluarkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber kepada dua aktiviti pengorekan pasir dan dua aktiviti naik taraf jambatan dan tebing sungai, serta Lesen Abstraksi Air Permukaan melibatkan lapan premis yang terlibat termasuk aktiviti akuakultur tersebut.

Sehingga kini, dilaporkan tiada sebarang aduan yang diterima berkaitan premis yang dilesenkan di kawasan
berkenaan serta gangguan terhadap ekosistem di sungai tersebut.

Pensampelan kualiti air dan pemantauan pematuhan lesen juga dilaksanakan oleh LUAS secara berkala.

Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (2014), Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Batang Kali adalah baik
dan dikategorikan sebagai Kelas II dan masih kekal sehingga kini.

Selain itu, berdasarkan rekod IKA di muka sauk loji rawatan air (LRA) Batang Kali dari 2019 sehingga 2021 di bahagian hilir juga kekal dalam keadaan baik iaitu Kelas II dan kualiti air Sungai Batang Kali menunjukkan tren peningkatan yang lebih baik setiap tahun dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.

Pihak LUAS bersama agensi-agensi terlibat yang lain sentiasa komited seperti Jabatan Alam Sekitar
(JAS) Negeri Selangor, Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDT Hulu Selangor) bagi menjalankan siasatan lanjut serta tindakan yang sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing terhadap isu yang dilaporkan bagi memastikan tiada kesan signifikan kepada kualiti Sungai Batang Kali.

LUAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin terhadap sumber air Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan dalam seksyen 79, Enakmen LUAS 1999.

Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya sungai, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera.

Kenyataan EXCO alam sekitar Hee Loy Sian


Pengarang :