Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemaju wajib nilai kesan alam sekitar, kekal zon hijau hutan simpan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Selangor mewajibkan pemaju menjalankan penilaian kesan alam sekitar dan sosial di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyahwarta.

Pengarah Perhutanan Selangor berkata Gabungan Indah Sdn Bhd yang diberi milikan juga perlu memastikan 20 peratus daripada pembangunannya kekal zon hijau.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid dalam kenyataan hari ini turut mengingatkan syarikat pemaju itu untuk menjalankan translokasi spesis flora dan fauna berkepentingan.

“Justeru, Kerajaan Selangor telah mengambil kira semua aspek dalam membuat keputusan yang terbaik berkaitan penyahwartaan HSKLU.

“Keputusan ini juga selaras matlamat pembangunan Selangor ke arah kestabilan sosio ekonomi, dinamik, mampan dan lestari,” katanya.

Pada 5 Februari tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

Satu sesi pendengaran awam dianjurkan pada 27 September tahun sama bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan
ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.


Pengarang :