Universiti Malaya (UM) berada di tempat kesembilan universiti terbaik Asia menurut Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021 yang dikeluarkan pada 25 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemohon gagal dapat tempat di universiti awam boleh kemuka rayuan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Pemohon yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam (UA) boleh mengemukakan rayuan selepas 11 hari hebahan semakan keputusan kemasukan ke UA sesi 2021/2022 yang diumumkan Rabu lepas.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi Wahi Nordin berkata rayuan boleh dikemukakan menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline).

“Pemohon hanya boleh mengemukakan empat pilihan rayuan dan program bertemu duga atau ujian hanya untuk pilihan satu dan dua. Calon yang gagal sahaja akan mendapat menu rayuan, dan bagi yang berjaya nak tukar ke pilihan pertama itu tidak dibenarkan.

“Saya juga nak ingatkan kepada calon, permohonan kali ini agak sengit, ramai yang dapat keputusan cemerlang di peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) asasi dan matrikulasi tidak mendapat tempat berdasarkan pilihan program yang sengit persaingannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama hari ini.

Wahi berkata menerusi rayuan, pelajar memiliki peluang untuk mendapat tempat, dan menasihati calon-calon untuk tidak memilih semula 12 pilihan kursus yang dipohon sebelumnya memandangkan program tersebut berkemungkinan telah penuh.

“Jadi calon-calon boleh memilih program yang bersesuaian dengan keputusan dalam empat pilihan rayuan itu,” katanya.

Selain itu, calon yang ingin membuat permohonan baharu atau terlepas membuat permohonan menerusi UPUOnline, boleh mengambil maklum tentang permohonan yang dibuka oleh UA seperti Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuka permohonan pada semester kedua pada Mac 2022.

“Jadi calon-calon boleh melayari permohonan kemasukan semester kedua, bukan ambilan kedua, boleh buat permohonan terus kepada universiti berkenaan. Peluang di situ lebih cerah dengan keputusan yang ada,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengumumkan keputusan rayuan pada akhir Oktober selepas kumpulan pertama ini mendaftar masuk ke universiti mulai 15 Okt depan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan tawaran yang diberikan adalah muktamad dan pemohon tidak dibenarkan untuk membuat pertukaran kursus atau universiti.

“Kami telah membuat pilihan berdasarkan susunan merit, jadi kalau calon tidak berjaya pilihan pertama, tetapi berjaya mendapat pilihan kelima, maknanya markah merit dia tidak mencukupi untuk pilihan pertama,” katanya.

Semakan keputusan boleh didapati menerusi lima pautan antaranya https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my; dan http://jpt.umt.edu.my.

-BERNAMA


Pengarang :