Pasukan sukarelawan MPKK Kampung Padang Jawa menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas susulan penularan Covid-19
BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Kampung Padang Jawa belanja RM10,000 bantu individu terjejas

SHAH ALAM, 25 SEPT: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Demikian peribahasa sesuai menggambarkan kerjasama erat penduduk Kampung Padang Jawa di sini memutuskan penularan Covid-19 dan membantu insan terjejas.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampungnya Fadzillah Hisham Ismail berkata berbekalkan dana Kerajaan Negeri dan kutipan sumbangan ramai pihaknya menggerakkan kerja kebajikan serta pencegahan sejak wabak itu melanda awal tahun lalu.

Jelas Fadzillah Hisham, setakat ini pihaknya membelanjakan RM10,000 untuk menyediakan barangan keperluan kepada golongan terjejas selain menjalankan kerja nyahcemar di premis tumpuan awam dan rumah penduduk.

“Pada saat sukar ini, penduduk bersatu membantu dan sentiasa memantau keadaan satu sama lain…sekiranya perlu bantuan kami akan terus.

“Ini amal jariah kami dalam meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya di sini semalam.

Menurut Fadzillah Hisham MPKK turut membantu mempermudahkan penduduk mendapat suntikan vaksin yang antaranya diperoleh menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

“Kampung ini pernah mencatat jangkitan tinggi iaitu sehingga 70 kes sebulan, sebab itu kami minta vaksin termasuk kepada warga asing yang dibimbangi menjadi pembawa,” katanya.

Pada 21 September lalu, program Selvax bergerak diadakan di kampung itu dengan 700 dos suntikan disediakan.


Pengarang :