Penduduk membuang air dan membersih kan rumah yang dimasuki air berikuti banjir kilat ketika tinjauan SelangorKini di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk sifatkan banjir kilat Shah Alam antara terburuk

SHAH ALAM, 28 SEPT: Penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini menyifatkan kejadian banjir kilat pada Ahad paling teruk menimpa mereka.

Mohammad Fadli Khairudin, 21, berkata banjir kilat pernah berlaku di kawasan itu tetapi disebabkan kejadian ban pecah beberapa tahun lalu.

Mohammad Fadli Khairudin

“Kawasan kampung ini ibarat seperti sebuah mangkuk yang menjadi tempat limpahan air sekiranya hujan lebat kerana kawasan yang rendah.

“Ibu, ayah dan dua adik perempuan bermalam di dewan disediakan sementara saya pula kekal di rumah untuk mengangkat barang elektrik keluar,” katanya ketika ditemui.

Manakala Rasimah Jarjis, 28, berkata rumahnya dinaiki air pada jam 6.30 petang dan ketika itu beliau berada di rumah bersama anaknya berusia 10 tahun.

Rasimah Jarjis

“Menyedari air mula naik saya bersama anak mengangkat barang sedikit demi sedikit sementara menunggu suami pulang ke rumah.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana setiap tahun perlu berhadapan dengan banjir kilat,” kata suri rumah itu.

Ahad lalu, lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga dilanda banjir kilat susulan hujan lebat bermula jam 5.30 petang sebelum surut kira-kira jam 9 malam.

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari berkata kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

 


Pengarang :