Sukarelawan Selangor (SERVE) bergotong-royong mengangkat bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir dalam misi bantuan mangsa bencana fenomena kepala air di Pasti Nurul Hidayah Kampung Titi Teras, Yan, Kedah pada 1 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk Yan terjejas banjir kembali semangat teruskan hidup

YAN, 13 SEPT: Masyarakat Yan yang terkesan dengan bencana banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai di sini, kembali bersemangat meneruskan kehidupan selepas hampir sebulan bencana itu berlaku.

Pegawai Daerah Yan Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata sebelum ini penduduk berasa bimbang dan trauma dengan kejadian tersebut, namun hasil sokongan serta bantuan daripada pelbagai pihak perasaan tersebut kini beransur pudar.

“Sekarang ini sudah hampir sebulan (bencana) berlalu, dengan pelbagai bantuan yang kita terima daripada sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan, kita dapat lihat mereka semakin bersemangat

“Sebelum ini mereka agak trauma dengan bencana yang berlaku tapi kini saya lihat semangat mereka kembali pulih,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Mekar Prihatin Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama mangsa banjir Yan di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 4,000 sukarelawan yang datang membantu dan menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan kepada mangsa susulan bencana tersebut yang berlaku pada petang 18 Ogos lepas.

“Sekarang ini kita sudah dalam fasa pemulihan (selepas bencana), kita nak masyarakat di sini kembali kepada rutin mereka, dapat bekerja dan berniaga seperti biasa, selain pasar malam, pasar pagi dan pasar tani akan memulakan operasinya secepat mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai keselamatan di Gunung Jerai, Tunku Iskandar Shah berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) masih menjalankan siasatan dan kajian mengenai kejadian yang berlaku, dan akan mengesyorkan tindakan yang harus diambil sebagai persediaan menghadapi risiko kejadian itu berulang.

“Memang ada perbincangan dengan JMG dan laporan diberikan kepada saya sebagai Pengerusi Bencana Daerah. Kami sentiasa memantau perkara ini dan saya pasti JMG akan mengesyorkan pemasangan sistem amaran di gunung itu bagi memberi amaran awal kepada penduduk berhampiran,” katanya.

Bencana banjir ekoran fenomena kepala air itu mengorbankan enam nyawa, selain kira-kira 800 rumah di daerah Yan dan 200 rumah di daerah Kuala Muda terjejas.

– BERNAMA


Pengarang :