Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid ketika temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pengarah: Hingga 40 peratus HSKLU rosak, kos RM1 juta pulih hutan tahun lalu

OLEH KHAIRUL AZRAN HUSSEIN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak RM1 juta diperuntuk Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk membantu memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada tahun lalu sahaja.

Pengarahnya Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata lebih RM500,000 pula dihabiskan setakat Ogos tahun ini bagi kos lain termasuk penyelenggaraan pam, pembelian peralatan dan elaun kakitangan.

Beliau juga menjelaskan angka tersebut belum termasuk perbelanjaan pemuliharaan RM30,000 bagi setiap hektar untuk merawat kawasan yang mengalami kebakaran termasuk menanam pokok.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela selain membina menara untuk mengesan pencerobohan,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut angka JPNS, seluas kira-kira 359.6 hektar HSKLU terbakar sepanjang 2012 hingga 2017, termasuk 132.0 hektar hangus ketika kebakaran paling teruk pada 2014.

Daripada jumlah kawasan kebakaran tersebut, yang merosakkan 30 hingga 40 peratus flora HSKLU, seluas 95.6 hektar hangus pada 2017, 82.0 hektar (2013) dan 50.0 hektar lagi pada 2012.

Ahmad Fadzil juga kesal berikutan segelintir masyarakat sering menyalahkan JPNS seolah-olah ia tidak pernah menjalankan tugas untuk memulihkan HSKLU.

“Hakikatnya, kita sudah melakukan banyak usaha pemulihan tetapi baru dua atau tiga tahun tanam dan pokok baru hendak besar, kebakaran berlaku lagi.

“Lebih mengecewakan kebakaran berpunca sikap manusia, ada yang ceroboh hutan untuk aktiviti tanaman atau buang puntung rokok,” katanya.

Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna. Apabila 536.7 hektar dinyahwarta, Kerajaan Negeri mengganti kawasan lebih besar seluas 581.48 hektar dengan nilai kepelbagaian flora dan fauna yang lebih baik di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Kerajaan Negeri juga meluluskan nyahwarta lebih kurang separuh sahaja HSKLU daripada 991.9 hektar setelah mendapat maklum balas orang ramai dalam penyiasatan awam yang mengambil masa lebih setahun.

Kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta tersebut, malah Kerajaan Negeri mewartakan tambahan 42.1 hektar lagi bagi meningkat rizab tanah mereka.

Namun keputusan nyahwarta ini sedang disemak semula oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.


Pengarang :