Pengarah jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pengarah: Pulihara HSKLU telan kos jutaan ringgit, mudah terbakar (SOAL JAWAB)

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sebanyak 536.7 hektar daripada keseluruhan 991.90 Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dinyahwarta susulan kemerosoton 40 peratus kawasan hutan itu.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat), keseluruhannya seluas 581.48 hektar, menggantikan lokasi tersebut.

Wartawan Khairul Azran Hussin dan Amin Ridzuan Ishak mewawancara Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid bagi mendapatkan perincian.

Temu bual itu dibuat dua hari sebelum Kerajaan Negeri menarik balik nyahwarta pada 8 September kecuali tanah Kampung Orang Asli Busut Baru dan rancangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Tiga kawasan gantian kekal sebagai hutan simpan.

Boleh Dato’ ulas perkara berbangkit berkaitan Orang Asli susulan cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU)?

Asalnya mereka dipindahkan apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibina di Sepang. Mereka dipindah ke kawasan berhampiran HSKLU. Sebenarnya bukan dalam hutan simpan sebaliknya diberi tanah kerajaan lain.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika itu, mereka dijanjikan Kerajaan Negeri (zaman Barisan Nasional) tanah seluas 1,000 ekar. Isu yang sering dibangkit adalah kawasan tidak cukup, hanya 870 ekar. Bermaksud kekurangan lebih 100 ekar. Melalui nyahwarta, kita cukupkan rizab itu. Salah satu komponen nyahwarta HSKLU adalah mencukupkan rizab tersebut. Jadi, Kerajaan Negeri (sekarang) cukupkan kepada 1,000 ekar kepada mereka yang berpindah supaya tiada lagi isu tuntutan.

Maksudnya, kerajaan melunaskan janji memberi penempatan kepada Orang Asli di sekitar Kuala Langat. Itu janji dan kerajaan tepati walaupun ambil masa lebih 20 tahun. Tetapi kita berjaya selesaikan isu Orang Asli.

Dalam isu HSKLU, ada beberapa kawasan diteroka sejak Orang Asli berpindah ke sana. Sebahagiannya dijadikan jadi rizab untuk mereka. Tetapi ada kawasan lain yang turut ditanam. Kita tengok macam mana sama ada pihak berkuasa negeri beri permit atau musnahkan. Perkara itu akan diputuskan kemudian.


Benarkan dakwaan ada tanah perkuburan Orang Asli di HSKLU?

Ada ditunjukkan satu kubur, satu sahaja. Dalam lawatan dengan EXCO alam sekitar (Hee Loy Sian), berkemungkinan penduduk berpindah dari Sepang mengebumikan mayat di hutan simpan.

Asalnya HSKLU dikategori hutan pengeluaran, aktif keluar kayu balak berdasarkan pengurusan hutan. Konsepnya keluar pokok kayu matang dan cukup had batasan tebangan. Ada ditinggal untuk pusingan seterusnya. Sebab itu, kita tidak jangka ada Orang Asli. Kalau ada daripada awal, mesti ada bantahan aktiviti pembalakan tetapi tiada.


Benarkah dakwaan sumber makanan penduduk Orang Asli terjejas jika nyahwarta diteruskan. Apakah pula spesies haiwan terdapat di HSKLU?

Dari segi pencarian makanan dan kebergantungan Orang Asli kepada hutan, ada hidupan liar untuk sumber daging. Spesies HKSLU banyak mamalia kecil, contohnya musang dan tupai. Tiada mamalia besar macam gajah, seladang, harimau dan badak. Mungkin ada tapir tetapi sepanjang pengetahuan saya tiada.

Saya tidak pasti kegunaan hidupan liar kecil kepada Orang Asli. Secara am, kita tidak nampak kebergantungan Orang Asli terhadap kawasan itu untuk mencari makanan. Mengapa? Sebab kawasan itu aktif pembalakan. Jadi, jika ada kebergantungaan itu, tentu sejak mula lagi mereka bantah proses pembalakan.


HSKLU diklasifikasi berisiko tinggi kerana mudah terbakar. Boleh Dato’ jelaskan usaha Jabatan Perhutanan negeri dan agensi lain untuk mencegahnya?

Secara purata sejak awal tahun 2000 kawasan itu terbakar. Jika memandu di lebuh raya berhampiran, boleh nampak asap. Kebakaran memusnahkan banyak pokok. Bila tumbuh semula, nampak dari atas memang hijau, tetapi pokok baru hendak naik kadang-kala terbakar semula.

Secara am, keseluruhan HSKLU kategori hutan paya gambut. Namun, kawasan itu tersisih dari kompleks hutan besar. Maksudnya, jadi ‘pulau’ dan dihimpit pembangunan pesat di sekeliling hingga menyebabkannya tersepit.

Ditambah lagi penerokaan haram, buat tanaman kontan dan sawit yang menambah tekanan kepada hutan. Ada program pulihara tetapi kita berdepan pencerobohan dan kebakaran. Kita tanam, tahun depan terbakar.

Kos menanam kawasan rosot termasuk penyelenggaraan dan rawatan mencecah RM30,000 satu hektar. Untuk cegah kebakaran, kita bina parit dan telaga tiub untuk mendapat bekalan air secukupnya apabila berlaku kebakaran.

Kita juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar yang menggajikan anggota Rela. Bina menara untuk kesan penceroboh. Di Malaysia, banyak kebakaran akibat perbuatan manusia. Ada pemancing tangkap ikan. Buat unggun dan merokok. Ia menyebabkan hutan terbakar. Inilah konflik Jabatan Perhutanan negeri. Kos tinggi dan berdepan masalah sama setiap tahun.


Difahamkan proses ini mengambil masa lama untuk dilulus selain pelbagai prosedur termasuk sesi pendengaran awam. Boleh Dato’ jelaskan perjalanannnya?

Dalam kes HSKLU, cadangan diterima sejak 2014 lagi. Lama orang memohonnya. Pada 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan satu permohonan untuk dibangunkan. Dari situ, baru ada peranan Jabatan Perhutanan negeri. Namun, Selangor ada syarat supaya perlu adakan proses pendengaran awam untuk mendapat pandangan pelbagai pihak.

Pada 2020, pendengaran dibuat. Kita terima ulasan dan pandangan semua pihak termasuk dari luar negara. Selepas proses itu, kita iklankan, buat sesi pendengaran awam sebanyak tiga kali. Jawatankuasa pendengaran awam ditubuh dan dipengerusikan EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian yang turut dianggotai agensi teknikal.

Jawatankuasa ini akan putuskan sama ada hendak teruskan nyahwarta atau sebaliknya. Bukannya Jabatan Perhutanan seperti sangkaan ramai. Kita sebagai penjaga cuma hendak pastikan hutan itu kekal. Dasar di Selangor, sekurang-kurangnya 30 peratus keluasan kekal hutan simpan. Dasar itu masih kekal. Sekarang keluasan hutan 31.6 peratus daripada seluruh keluasan negeri.


Boleh Dato’ jelaskan jumlah aduan dalam sesi pendengaran dan proses selepasnya?

Memang apabila kita buat pendengaran awam, hampir semua bantah dengan pelbagai alasan berulang dan disokong beberapa individu atau badan bukan kerajaan (NGO). Laporan pendengaran awam kita sediakan, kategorikan dan bentangkan kepada jawatankuasa pendengaran awam. Tugasan kami hanya itu. Yang lain terserah jawatankuasa untuk tentukan. Ia dianggotai agensi negeri dan persekutuan. Bukan hanya wakil Selangor, ada dari kementerian dan wakil teknikal dari kerajaan pusat.

Hasil perbincangan selepas menilai bantahan, saya tidak pasti kerana tidak hadir. Tetapi ada wakil dari Jabatan Perhutanan. Semua beri ulasan, akhirnya bantahan didapati tidak begitu kukuh untuk kekalkan kawasan itu. Keputusan dipersetujui untuk nyahwarta.

Keputusan itu dibawa kepada EXCO untuk diputuskan, barulah dibawa keluar. Sebab itu, kita kata proses itu bukan mudah. Kalau kita tengok, bermula 2014 hingga 2021, hendak nyahwarta ambil masa tujuh tahun. Harus lalui pelbagai proses. Pihak berkuasa kerajaan negeri akhirnya putus atas faktor pembangunan sosioekonomi negeri, maka dinyahwarta dan diganti kawasan lain.


Bagaimana penilaian Jabatan Perhutanan terhadap tiga kawasan gantian itu?

Menariknya, Jabatan Perhutanan dapat kawasan ganti yang kualitinya lebih baik. Pertama, dari segi kedudukan hutan simpan. Kita dapat hutan simpan di Ampang Pechah, Hulu Selangor, Bukit Broga, Semenyih yang terkenal dengan kegiatan pendakian dan Sungai Panjang, Sabak Bernam yang juga hutan simpan paya gambut.

Sebahagian kawasan tanah gambut dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara dilihat dari menara tinjau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ketika lawatan pada 26 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kenapa saya kata lebih baik? Hutan simpan di Sungai Panjang dan Ampang Pechah merupakan tambahan kepada kompleks hutan sedia ada. Bukannya tersisih. Kita boleh perbesarkan dan memudahkan kawalan. Memang Bukit Broga tersisih tetapi ia sebagai sebuah bukit lebih mudah dikawal.

Kita sebenarnya telah lama minta dijadikan hutan simpan. Tetapi agak sukar untuk tukar tanah kerajaan kepada hutan simpan. Banyak daerah perlukan tanah untuk pembangunan.

Oleh sebab kompleks ini belum terusik dan diceroboh, kita boleh kata Jabatan Perhutanan bertuah kerana dapat kawasan gantian itu.


Boleh Dato’ jelaskan lebih lanjut keistimewaan dua kawasan gantian terbabit?

Kawasan gantian di Sungai Panjang dan Ampang Pechah menyambung kompleks hutan lebih besar. Kalau tengok dalam konteks Selangor mungkin tidak besar sangat. Tetapi ia sebenarnya kompleks hutan Banjaran Titiwangsa mengunjur dari Utara bawa ke Selatan hingga ke Johor.

Maksudnya, Selangor menyumbang kepada kompleks lebih besar. Ia bersambung di sempadan dengan hutan simpan Pahang manakala di sebelah utara bersambung dengan hutan simpan di Perak. Di bahagian bawah pula mengunjur ke hujung banjaran iaitu di Hutan Simpan Panti, Johor. Ia bermula dari Hutan Simpan Bintang Hijau, Kedah.

Kompleks ini penting untuk tulang belakang hutan tengah (CFS). Kita bertuah kerana dapat menambah keluasan. Ini penting untuk menjadi kawasan perayauan spesies mamalia besar seperti harimau, gajah selain hidupan liar rusa serta beruang. Mereka memerlukan kawasan luas dan tidak terusik. Maksudnya konflik manusia dan haiwan dapat dikurangkan.

Keluasan HSKLU pula tidak boleh ditambah kerana dihimpit pembangunan. Sukar buat pemuliharaan atas sebab pencerobohan dan saban tahun terbakar. Mungkin ada yang membangkitkan kepentingan menjaga spesies endemik. Dalam zaman sains dan teknologi, ia boleh dibawa dan tanam semula. Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan tidak selamat kerana terdedah kepada kebakaran. Baru hendak cambah sudah terbakar.

Jabatan Perhutanan negeri berbelanja hampir RM1 juta untuk lawan kebakaran tahun lalu. Tahun ini RM500,000 perbelanjaaan mengaktifkan pam, beli peralatan dan bayar elaun. Kos memadam kebakaran lebih tinggi berbanding penanaman pokok.

Apabila buat penanaman di kawasan terosot, dua tiga tahun selepas itu terbakar. Kira-kira 90 peratus punca kebakaran akibat manusia. Jarang petir jadi punca kerana hutan kita bukan terlalu kering hingga kena petir hutan boleh terbakar.


Apakah HSKLU mempunyai ciri-ciri hutan simpan baik?

Umumnya semua hutan ada peranannya. Tidak dinafikan ia mampu menjadi tebatan banjir, menyerap karbon dan mengeluarkan oksigen. Sesebuah kawasan seluas 0.5 hektar yang ada pokok boleh dikategori sebagai hutan.

Kompleks hutan kita ada kepelbagaian spesis dan banyak belum dikenal pasti. Cuma dahulu, sebut hutan orang kaitkan dengan pembalakan. Sekarang masyarakat tahu fungsinya yang lain. Hanya dengan kualiti baik, hutan dapat berfungsi. Contohnya Hutan Simpan Raja Musa yang komponen spesiesnya tidak terganggu dan kompleksnya lebih besar membolehkannya menjalankan fungsinya.

Tetapi hutan simpan kecil seperti HSKLU hanya tinggal 1,000 hektar. Sebahagian besarnya belukar akibat diteroka dan terbakar. Fungsinya ada tetapi kualitinya kurang. Sebab itu, kita bertuah mendapat gantian lebih baik.

Hanya 56 peratus HSKLU yang dinyahwarta. Masih ada baki kekal hutan termasuk kubur dan penempatan Orang Asli. Kawasan dinyahwarta hanya kawasan mudah terbakar dan diceroboh.

Jabatan juga akan cuba menentusahkan dakwaan segelintir pihak bahawa ada spesies tertentu di HSKLU. Kita akan minta mereka tunjukkan supaya pemuliharaan dapat dibuat. Kalau betul ada musang pandan seperti dakwaan, kita akan minta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tangkap, pelihara dan biakkan di kawasan lebih selamat.

Spesies endemik yang didakwa hanya ada di HSKLU juga akan ditentukan. Misalnya, Meranti Paya yang dikatakan ada di situ tetapi sebenarnya juga ada tempat lain. Pokok itu juga ada di Hutan Raja Musa dan Sungai Panjang. Dari segi kepentingan kurang kerana ada di hutan lain.


Apakah ulasan Jabatan Perhutanan Selangor terhadap cadangan nyahwarta sebahagian HSKLU?

Biasanya kita tidak sokong kerana membabitkan hutan simpan. Sebab itu, orang kata tengok Jabatan Perhutanan pun bantah. Memang betul tetapi kita beri syarat. Jika diluluskan mereka kena ganti. Dalam Akta Perhutanan pun bukan kata tidak boleh langsung (nyahwarta) tetapi harus diganti dengan keluasan dan kualiti sama. Apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat, ada timbang tara dan kajian dari segi kepentingan sosioekonomi, kita terima. Syaratnya harus diganti.


Bahagian HSKLU yang dinyahwarta terletak berhampiran pembangunan. Berdasarkan pengalaman, apakah risiko terhadap kawasan hutan simpan yang tepu pembangunan di sekitarnya?

Apabila buka kawasan bersempadan, tentu terdedah kepada penerokaan dan pencerobohan. Contohnya ada orang menceroboh untuk tanam pisang di tanah seluas satu ekar. Kalau 20 orang, maka 20 ekar dibuka. Lama kelamaan jadi luas.

Kedua, timbul banyak isu penguatkuasaan kerana banyak aduan bakal diterima termasuk pencerobohan bagi aktiviti riadah. Contohnya, Bukit Lagong, Taman Templer, Selayang sering ada aduan orang mendaki dan masuk tanpa kebenaran. Setiap aduan harus ada tindakan. Ikhlasnya kami tidak mampu kesan semua pencerobohan kerana sempadan hutan luas.

Maksudnya NGO dan aktivis alam sekitar kena terima hakikat HSKLU tidak lagi selamat untuk spesies flora dan fauna?

Mereka kena terima hakikat. Kita tidak boleh kawal kebakaran saban tahun. Tahun ini hampir RM2 juta dibelanja. Bomba contohnya terpaksa guna pesawat amfibia dan kerah 100 anggota.

Saya faham NGO mempertahan hak Orang Asli. Tetapi adakah kita hendak melihat Orang Asli terus duduk di hutan? Adakah kita tidak mahu Orang Asli mengikut arus pembangunan?

Langkah kerajaan banyak bawa arus pembangunan kepada Orang Asli.

Kita bukan hendak hilangkan budaya mereka, boleh diteruskan di kampung baharu. Adakah kita hendak biarkan mereka kais pagi makan pagi dengan kutip herba dan berburu sedangkan tiada haiwan di HSKLU.


Pengarang :