Pengarah jabatan Perhutanan Negri Selangor, Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengarah: Tujuh tahun nilai sebelum lulus, bantahan nyahwarta HSKLU tidak kukuh

SHAH ALAM, 7 SEPT: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengambil masa selama tujuh tahun menilai permohonan untuk membangunkan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata pengarahnya.

Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata sejak menerima cadangan itu pada 2014, jabatannya melakukan kajian dan berbincang dengan pelbagai pihak sebelum bersetuju untuk menyahwarta kawasan tersebut.

“Proses ini tidak mudah kerana ambil masa sejak 2014 hingga ke 2021, untuk menyahwarta kita perlukan tujuh tahun, keputusan dilakukan bukannya dalam tempoh singkat.

“Perkara ini tidak boleh diambil enteng serta harus melalui pelbagai proses sebelum diputuskan, malah pertimbangan perlu dibuat dari segi sosioekonomi,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Fadzil berkata selepas kajian, sesi penyiasatan awam dianjurkan pada September tahun lalu bagi mendapatkan pandangan individu, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan pihak swasta.

Pemandangan dari udara Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyahwarta untuk pembangunan tetapi diganti dengan hutan gambut dan bukit yang sama nilai biodiversiti. Foto oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

“Jawatankuasa Penyiasatan Awam telah meneliti semua bantahan, namun bantahan dikemukakan tidak kukuh untuk Kerajaan Negeri mengekalkan HSKLU,” katanya.

Pada hujung 2019, Kerajaan Selangor mula merancang untuk membangunkan sebahagian HSKLU kepada pembangunan bercampur seperti perumahan.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuh Raya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun diwajibkan menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntuk dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Seluas 581.48 hektar di tiga daerah disediakan bagi menggantikan 536.7 hektar HSKLU yang dinyahwarta. Ia di Sungai Panjang, Sabak Bernam (seluas 308.62 hektar), Ampang Pechah, Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, Hulu Langat (63.88 hektar).

Susulan penyiasat awam tersebut, Kerajaan Negeri meluluskan lebih kurang separuh sahaja nyahwarta HSKLU pada Mei tahun ini. Namun keputusan ini mungkin disemak dalam masa terdekat.

HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna dan diganti dengan tiga kawasan hutan simpan yang lebih baik di tiga daerah tersebut.

Kawasan penempatan Orang Asli di Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta HSKLU kerana ia terletak di luar kawasan hutan simpan berkenaan.

Malah, Kerajaan Negeri menambahkan keluasan penempatan suku Temuan di tepi hutan simpan setelah perkampungan asal mereka dibangunkan untuk lapangan antarabangsa di Sepang.


Pengarang :