Pengarah Urusan KDEBWM , Ramli Mohd Tahir melakukan imbasan kod QR sebelum masuk ke pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi pada 27 Jun 2021. Foto KDEBWM
AGENSISELANGOR

Pengarah urusan: Semua kakitangan KDEBWM sudah divaksin

SUBANG JAYA, 15 SEPT: Semua 10,500 pekerja Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) sudah menerima vaksin Covid-19, kata pengarah urusannya.

Ramli Mohd Tahir berkata sebahagian menerima suntikan yang dibeli daripada Kerajaan Negeri menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) bagi membolehkan kakitangan mendapat vaksin lebih cepat.

“Bulan lalu juga seramai 250 pekerja mendapat suntikan vaksinasi percuma menerusi Selvax Komuniti DUN Subang Jaya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) De’ Palma, Shah Alam.

“Bantuan ini sangat berharga memandangkan pekerja berkhidmat setiap hari dan terdedah risiko jangkitan yang tinggi. Tindakan wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze sangat proaktif dan membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Michelle berkata bantuan itu sebagai menghargai pengorbanan kakitangan KDEBWM yang tetap bekerja ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Saya dapat tahu ada pekerja tidak divaksin lagi. Saya risau kerana ketika ini ramai pesakit Covid-19 dikuarantin di rumah.

“Pekerja ini sangat berisiko ketika mengutip sampah yang digunakan pesakit positif. Jadi, langkah ini dapat mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Usaha Kerajaan Negeri melibatkan kos bernilai RM200 juta diiktiraf kerajaan persekutuan, malah terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :