Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika berekreasi di Taman Tasik Shah Alam yang kembali dibuka kepada awam pada 22 Ogos lalu ketika tinjauan pada 28 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pengunjung taman awam di Shah Alam beri kerjasama, patuh SOP

SHAH ALAM, 19 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) belum mengeluarkan kompaun atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) di taman awam setakat ini.

Datuk Bandarnya Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata perkembangan itu membuktikan pengunjung peka dengan arahan ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Kita berpuas hati kerana berdasarkan pemantauan penguat kuasa, kebanyakan orang ramai yang beriadah beri kerjasama, faham SOP dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal.

“Penguat kuasa dan Ranger Shah Alam juga memantau ketat dengan hanya membenarkan individu lengkap dos vaksin masuk ke taman awam,” katanya hari ini.

Beliau yang ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini, berkata pihaknya tidak berkompromi sekiranya ada individu melanggar SOP.

“Di peringkat awal mungkin kita menegur dulu tetapi jika enggan patuh arahan, kita terpaksa mengambil tindakan terhadap mereka.

“Ada ibu bapa yang membawa anak-anak usia bawah 18 tahun keliru dengan SOP. Sebenarnya golongan ini dibenarkan masuk tetapi mereka (ibu bapa) perlu bersama mereka supaya tidak berkeliaran,” katanya.

Bermula 22 Ogos, semua taman awam di bandar raya ini dibuka kepada orang ramai yang lengkap menerima vaksin Covid-19.

Kebenaran hanya untuk bersukan, rekreasi dan riadah dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

 


Pengarang :