Duta Kempen, Che Puan Juliana Evans bersama gegantung promosi kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 17 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengusaha pelancongan sedia terima pengunjung, tetap amal SOP ketat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pengusaha pelancongan Selangor membuat persediaan rapi untuk menerima semula kehadiran pengunjung susulan penurunan kes Covid-19 dan kadar vaksin tinggi di negeri ini.

Pengurus pemasaran Bernam Nature Hut Johari Mohd Sharif berkata jika sektor pelancongan dibenar beroperasi, pusat perkelahan itu akan menititkberatkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan membenarkan kehadiran 50 peratus pengunjung sahaja.

Aktiviti perkhemahan di Bernam Nature Hut. Foto BERNAM NATURE HUT

“Langkah ini bagi memastikan pengunjung yang beriadah di Sungai Bernam rasa selesa dan selamat walaupun kawasan itu luas dan boleh menerima lebih 200 orang pada satu-satu masa.

“Selain perlu lengkap dua dos, kita hanya terima pengunjung dari daerah sama iaitu Hulu Selangor walaupun lokasi ini bersempadanan dengan Perak dan hanya dipisahkan dengan sebatang sungai,” katanya.

Pengusaha Tadom Hill Resort dekat Banting pula bersedia menerima pengunjung pada bila-bila masa kerana semua pekerjanya lengkap divaksin.

“Tahun ini kita sempat beroperasi sekejap sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan) secara menyeluruh dilaksanakan, jadi kita sudah ada pengalaman dari sudut persediaan.

Aktiviti di Tadom Hill Resort sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Foto TADOM HILL RESORT

“Kita akan memantau suhu pengunjung, pastikan pengunjung lengkap vaksin, melakukan sanitasi di dalam bilik penginapan dan menerima pengunjung dalam kuantiti tidak ramai,” katanya.

Sementara itu Eksekutif pembangunan perniagaan kanan Muzium Coklat Kota Damasara memaklumkan pihaknya hanya bersedia menerima pengunjung pada Oktober ini meskipun kerajaan membenarkan muzium beroperasi mulai esok.

Muhamad Ridzwan Md Ali berkata langkah itu bagi memastikan semua pekerjanya yang divaksin sebelum ini melepasi tarikh matang iaitu 14 hari selepas menerima suntikan yang kedua.

Muzium Coklat Kota Damasara akan dibuka kepada pengunjung pada Oktober. Foto MUZIUM COKLAT KOTA DAMANSARA

“Sebelum ini kita menerima sekitar 120 pengunjung bagi satu-satu masa dan selepas ini kita hanya akan menerima 40 hingga 50 orang sahaja pengunjung lengkap vaksin.

“Apa paling penting adalah semua pihak kekal patuh SOP dan sentiasa berdisiplin apabila sektor pelancongan di negeri ini beroperasi sepenuhnya,” katanya.

 


Pengarang :