Kabinet setuju memberi subsidi ayam, telur semua kategori sehingga Jun ini bagi menstabilkan kembali bekalan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga luar bandar jual ayam serendah RM7 sekilogram

KLANG, 30 SEPT: Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati beberapa peniaga di negeri ini mula menurunkan harga ayam serendah RM7 sekilogram.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram dijual di beberapa kawasan di luar bandar.

“Rungutan mengenainya berkurangan selepas ramai bersetuju harga RM9.50, malah di luar bandar ada yang jual RM7 ke RM8 lebih dan harga ini sebenarnya bergantung kepada pemborong dan penjual.

“Tetapi di pihak kita sentiasa memantau tidak melebihi RM9.50 seperti disyorkan,” katanya selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin hari ini.

Beliau juga menyeru peniaga, pemborong dan penternak ayam sama-sama meringankan beban rakyat dengan mengawal harga dan tidak menaikkannya.

Pada 21 September, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan disaran menyemak semula dasar pertanian dan keselamatan makanan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kebergantungan terhadap import bekalan mentah untuk membuat makanan ayam menjadi punca kenaikan harga di pasaran ketika ini.


Pengarang :