Exco Kerajaan Negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan pek sumbangan ketika Program Malaysia N49 Prihatin DUN Sungai Kandis sempena Hari Malaysia di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Peniaga, penternak ayam segar digesa elak caj harga tidak munasabah

SHAH ALAM, 17 SEPT: Penternak, peniaga dan pemborong ayam segar disaran tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bahan mentah tersebut ketika pandemik Covid-19, kata EXCO hal ehwal pengguna dan industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan kerap melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kenaikan harga luar jangka berlaku.

“Saya telah berjumpa dengan pengarah KPDNHEP Selangor dan dimaklumkan pihak berkaitan menaikkan harga ayam kerana mahu menampung kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Namun, saya harap penternak, peniaga dan pemborong tidak ambil kesempatan sehingga mengenakan caj tidak munasabah dan kurang sesuai ketika ramai orang sedang dalam kesempitan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di pusat khidmat masyarakatnya semalam.

Baru-baru ini KPDNHEP mengesan kenaikan harga ayam segar di peringkat nasional daripada RM8.39 sekilogram (kg) kepada RM8.47 berdasarkan laporan Price Alert Harian pada 6 September lalu.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya di 605 premis yang menjual ayam bersih di seluruh negara mendapati 47 premis atau lapan peratus daripadanya menaikkan harga manakala 0.5 peratus menurunkan harga.

Pada 13 September, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian itu akan melaksanakan kawalan harga ayam jika ia terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapat kartel memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.


Pengarang :