Orang ramai membeli makanan di gerai penjaja Kampung Selayang Indah, Gombak pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Peniaga tepi jalan di Selayang lega terima permit sementara

SELAYANG, 22 SEPT: Peniaga goreng pisang di Kampung Selayang Indah dekat sini menarik nafas lega selepas ditawarkan permit berniaga sementara oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

Nadirah Nahar, 48, berkata setiap hari sejak 10 bulan lalu dia berniaga dalam keadaan risau dan takut lebih-lebih lagi apabil ternampak kelibat petugas MPS berikutan tidak memiliki lesen sah.

Nadirah Nahar

“Sebelum beroperasi di sini saya tumpang berniaga di kedai makan jadi tidak perlu mohon lesen. Bila penularan Covid-19 premis itu terpaksa ditutup akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Saya buat keputusan berniaga kecil-kecilan jual goreng pisang, kuih. Sepanjang berniaga saya pernah disaman. Sekarang bila dapat lesen saya tak risau barang tidak disita atau kena keluar duit bayar saman kerana beroperasi secara sah,” katanya.

Amirul Alsam Zamri

Sementara itu, peniaga air Amirul Alsam Zamri, 27, berkata dia bersyukur kerana penantiannya kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan permit sementara berakhir semalam.

“Selama sembilan bukan berniaga di sini tak pernah kena saman atau sita. Cuma kena tegur dengan MPS.

“Dengan ada permit sementara ini saya tak lagi takut untuk terus cari rezeki. Ini sumber pendapatan. Terima kasih MPS kerana prihatin dan beri permit ini,” katanya.

Mereka antara 15 peniaga di Taman Selayang Mutiara dan Kampung Selayang Indah yang menerima permit sementara dari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.


Pengarang :