Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail membantu penunggang motosikal mengisi minyak ketika Program Isi Minyak Motosikal Secara Percuma sempena Hari Malaysia di Petron Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penunggang e-panggilan disaran berwaspada, pilih majikan sedia insurans

SHAH ALAM, 17 SEPT: Penunggang e-panggilan diminta mengutamakan keselamatan dan tidak terlalu mengejar masa ketika bertugas bagi mengelak kejadian tidak diingini, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata penghantar barangan atau makanan juga dinasihatkan mencari majikan yang mendaftarkan mereka dengan perlindungan insurans.

“Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di luar jangkaan jadi saya minta penunggang e-panggilan ini berhati-hati, fokus ketika memandu dan memakai pakaian bersesuaian.

“Selain keselamatan ketika bertugas, kesihatan juga penting dan perlu dijaga sebab itu perlu memastikan majikan mendaftarkan kita dengan perlindungan insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemberian petrol percuma terhad kepada 200 motosikal sempena sambutan Hari Malaysia di Stesen Minyak Petron Lebuhraya Persekutuan di sini semalam.

Pada masa sama Rodziah turut menggesa Kementerian Sumber Manusia mengiktiraf penunggang e-panggilan dengan menyediakan beberapa garis panduan supaya mereka dilindungi.

“Perkhidmatan e-panggilan ketika ini dilihat sebagai kerjaya dan bukan lagi sistem sokongan semata-mata. Kementerian perlu memastikan penunggang ini dilindungi,” katanya.


Pengarang :