Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama EXCO Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail (dua, kanan) menyerahkan alatan perubatan bagi pesakit Covid-19 kepada Pengarah Hospital Ampang Dr Kasuadi Hussin (dua, kiri) sumbangan Kerajaan Negeri di Hospital Ampang, Hulu Langat pada 3 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perangi Covid-19, Hospital Ampang terima alat perubatan lebih RM100,000

AMPANG, 3 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) menyumbang peralatan perubatan bernilai RM174,500 kepada Hospital Ampang bagi memerangi pandemik Covid-19.

Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata sumbangan itu merangkumi tangki oksigen, picagari, mesin penumpu oksigen, “infusion pump” dan “powered air purifying respirator” yang mana masing-masing lima unit diberikan.

“Bantuan ini diberi selepas kita mendapat permohonan daripada pihak hospital dan Alhamdulillah Kerajaan Negeri bersama pihak Selgate meluluskan serta bersetuju untuk menyumbang.

“Kita harap sumbangan ini membantu Hospital Ampang memberi rawatan terbaik sekali gus dapat menyelamatkan nyawa lebih ramai pesakit Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Permohonan Peralatan Perubatan Kepada Hospital Ampang hari ini. Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas sama ada hospital lain turut diberi bantuan serupa, Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata pihaknya akan mempertimbangkan perkara tersebut.

“Insya-Allah kita akan bantu mana-mana yang memohon. Semoga kes Covid-19 juga terus menurun dan pihak petugas barisan hadapan dapat menangani pandemik sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Ampang Dr Kasuadi Hussin turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor.

“Kami sangat menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri membantu membeli peralatan perubatan ini yang sangat penting untuk merawat pesakit Covid-19.

“Usaha ini amat dihargai meskipun kadar kemasukan pesakit Covid-19 semakin berkurangan,” katanya.


Pengarang :