Petugas menunjukkan poskad dan aplikasi e-Cencus yang digunakan bagi melengkapkan proses bancian penduduk ketika sidang media pelaksanaan banci penduduk dan perumahan Malaysia (MyCensus2020) di Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perangkaan: 28.1 juta penduduk Malaysia sudah dibanci

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Seramai 28.1 juta atau 85.8 peratus daripada 32.6 juta penduduk Malaysia sudah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), kata Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan berkata berdasarkan data banci tersebut, penduduk Malaysia merangkumi 95.2 peratus atau 26.6 juta adalah warganegara manakala 4.8 peratus atau 1.4 juta bukan warganegara.

Beliau berkata beberapa negeri dan wilayah iaitu Kelantan, Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sudah hampir selesai dibanci dan sedang dalam proses pengabsahan dan mengesahkan maklumat yang diterima.

Dalam sidang media Status Banci Malaysia secara dalam talian hari ini, Mohd Uzir berkata negeri tertinggi yang telah dibanci ialah Johor sebanyak 104.9 peratus.

Lain-lain adalah Putrajaya (101.3 peratus), Negeri Sembilan (100.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (99.2 peratus), Perlis (95 peratus) dan Kelantan sebanyak 93.8 peratus.

Perak (93.2 peratus), Pulau Pinang (92.8 peratus), Selangor (91.2 peratus), Melaka (88.2 peratus), Terengganu (88.1 peratus), Kedah (84.3 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (78.6 peratus), Pahang (69.3 peratus), Sarawak (66.6 peratus) dan Sabah (55.9 peratus).

“Bagi negeri yang melebihi 100 peratus, antara faktornya ialah apabila dibuat pembancian, angka yang kita dapat melebihi anggaran dan ada kemungkinan juga semasa bancian dilakukan terdapat migrasi atau pergerakan penduduk dari satu kawasan ke kawasan yang lain,” katanya.

Mohd Uzir berkata negeri yang tidak mencapai peratusan yang tinggi bukan disebabkan tidak mendapat kerjasama penduduk tetapi disebabkan kekangan pandemik Covid-19 dan bencana alam.

“Peratusan yang rendah di Pahang disebabkan bencana banjir yang berlaku di negeri itu. Di Sabah dan Sarawak pula kita terpaksa memperlahankan kerja pembancian buat sementara waktu kerana peningkatan kes Covid-19 pada ketika itu.

“Kita sudah dapatkan kerjasama dengan kerajaan negeri serta pegawai daerah untuk meningkatkan operasi pembancian yang kini tempohnya hanya tinggal sebulan iaitu berakhir pada 31 Oktober ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata pihaknya yakin baki 4.6 juta yang masih belum dibanci dapat diselesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Oktober ini.

“Tempoh masa operasi Banci 2020 adalah lebih panjang iaitu melebihi setahun berbanding banci terdahulu yang hanya mengambil masa tiga hingga empat minggu.

“Tempoh masa yang lebih panjang ini memberi peluang kepada Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membuat semakan data yang lebih terperinci serta membuat lawatan semula ke tempat kediaman atau kawasan yang telah dibanci sekiranya perlu,” katanya.

Berdasarkan data yang telah dibanci, Mohd Uzir berkata nisbah jantina di Malaysia adalah 104 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan, yang menunjukkan penduduk lelaki mencatatkan 51.3 peratus, lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan iaitu 48.7 peratus.

Daripada 28.1 juta penduduk yang telah dibanci, 25.4 peratus adalah dalam kalangan umur muda iaitu 0 hingga 14 tahun, 69.3 peratus penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 5.4 peratus dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas.

– BERNAMA


Pengarang :