EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tengah) menyerahkan permit penjaja sementara kepada Nadirah Nahar, 48, sambil di saksikan ADN Taman Templer, Sany Hamzan (kanan) di Kampung Selayang Indah, Gombak pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permudah lesen niaga sementara, bantu golongan hilang pendapatan

SELAYANG, 21 SEPT: Kerajaan Selangor mempermudah permohonan permit berniaga sementara kepada penjaja termasuk proses kelulusan singkat, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah itu sebagai inisiatif Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu peniaga baharu terutama yang hilang pendapatan akibat Covid-19.

“Komitmen Kerajaan Negeri dibuktikan apabila lebih 8,300 lesen sementara dikeluarkan seluruh PBT negeri ini sejak dilancarkan pada Ogos tahun lalu hingga sekarang.

“PBT akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk peniaga menjalankan operasi mereka, kita tidak mahu tapak bermasalah atau menganggu lalu lintas,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan 17 permit sementara kepada peniaga di Taman Selayang Mutiara dan Kampung Selayang Indah dekat sini.

Sementara itu Sze Han berkata pihaknya akan membincangkan sama ada tempoh sah lesen sementara yang berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan atau sebaliknya.

“Kita akan bincangkannya, apabila mendapat kelulusan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) saya akan umumkan,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.


Pengarang :