Hashim Ahmad, ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 23 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pernah dijangkiti Covid-19, warga emas syukur akhirnya dapat vaksin

SELAYANG, 24 SEPT: Seorang warga emas tidak sangka masih berpeluang menerima vaksin selepas pernah dijangkiti wabak Covid-19 kategori tiga sebelum ini.

Hashim Ahmad, 62, berkata ketika virus ‘jahat’ itu menjangkitinya pada Julai lalu, beliau menganggap hari-hari yang dilalui itu adalah saat terakhirnya bernafas di muka bumi ini.

“Saya pernah terima janji temu vaksin tetapi terpaksa dibatalkan kerana disahkan Covid-19…tiada apa saya fikir selain kematian kerana ketika virus itu menyerang sakitnya bukan kepalang. Namun, Alhamdulillah tuhan masih beri peluang kedua.

Pon Wing Yan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya menunggu juga tarikh vaksin di MySejahtera tetapi sehingga kini tiada. Apabila dimaklumkan daripada kumpulan WhatsApp jiran tetangga mengenai program hari ini tanpa fikir panjang saya hadir terus untuk terima dos pertama,” katanya.

Beliau yang hadir bersama anaknya antara 700 peserta menerima pelalian dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Dataran Ilmu di sini semalam.

Sementara itu, Pon Wing Yan, 18, berkata beliau mengambil vaksin dengan harapan boleh kembali belajar secara bersemuka tidak lama lagi.

“Belajar secara dalam talian tidak sama dengan bersemuka…saya harap selepas ini dapat balik ke kampus dan belajar bersama rakan,” katanya yang melanjutkan pengajian di salah sebuah kolej swasta di Kepong.

Manakala, seorang warga Indonesia Lisa Saimun, 23, berkata beliau gembira hasrat untuk mendapat vaksin akhirnya tercapai dan berharap dapat memulakan kerja seperti biasa.

ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzah menyantuni petugas kesihatan dan penerima suntikan dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, Gombak pada 23 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Apabila dapat vaksin agak yakin untuk kembali bekerja dan berdepan dengan orang ramai. Jika tidak sebelum ini majikan tidak bagi kerja,” katanya yang terputus pendapatan hampir lima bulan.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :