EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan, Borhan Aman Shah (dua dari kiri) memberi bakul makanan kepada Penghulu Mukim Bandar dan Jugra Daerah Kuala Langat, Mohd Fazil Amin (dua dari kanan) sempena majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah & Tanah Kuala Selangor pada 6 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Peruntuk RM680,000 agih bantuan makanan kepada penduduk kampung tradisi

KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM680,000 bagi memberi bantuan makanan kepada 11,400 penduduk kampung tradisi seluruh negeri yang terjejas pandemik Covid-19.

EXCO pembangunan luar bandar berkata sumbangan berupa beras, minyak, bihun, sardin dan gula itu merupakan kesinambungan bantuan supaya tiada rakyat terputus bekalan makanan.

“Sebelum ini bantuan dihulur menerusi peruntukan RM5,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan hari ini kita tambah lagi. Ini dapat ringankan beban penduduk.

EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan, Borhan Aman Shah berucap sempena majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah & Tanah Kuala Selangor pada 6 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Agihan diuruskan penghulu, ketua kampung atau agensi tertentu supaya sampai kepada golongan sasar yang memerlukan. Anggaran 100 penerima di setiap kampung,” kata Borhan Aman Shah hari ini.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada wakil penghulu di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor.

Selain makanan asas, bakul turut mengandungi pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

Sementara itu Borhan berkata pihaknya sedang mengenal pasti produk industri kecil sederhana (IKS) setiap daerah untuk disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan.

“Contohnya di Kuala Selangor ada produk ikan masin manakala Sepang terkenal dengan kerepek. Jadi kita beli produk ini untuk diserahkan kepada petugas hadapan sebagai tanda sokongan.

“Cara ini juga membantu pengusaha menjana pendapatan. Perkara ini sudah dibincangkan minggu lalu dan harap ia memberi manfaat kepada banyak pihak,” katanya.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.


Pengarang :