Kakitangan Pertubuhan Peladang Sungai Besar mengangkat guni bantuan benih padi sah MR219 yang disumbangkan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada petani di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pesawah Sungai Panjang, Bagan Terap terima bantuan benih padi MR219

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Seramai 878 pesawah sekitar mukim Sungai Panjang dan Bagan Terap menerima bantuan benih padi sah jenis MR219 untuk digunakan pada musim penanaman bermula Oktober ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata agihan 8,900 beg benih padi itu membabitkan 22 blok kawasan pertanian berkeluasan 1,700 hektar dengan peruntukan berjumlah RM300,000 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

“Dari tahun ke tahun, kita buat penambahbaikan dari segi rawatan tanah, penggunaan bahan organik dan kawalan serangga di bawah program peningkatan hasil padi di Selangor.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pertanian & Perladangan Dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim (dua, kanan) ketika program bantuan benih padi kepada petani di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kali ini, disebabkan berlaku serangan ulat pengorek batang dan gulung daun agak serius terutama di kawasan utara negeri ini, kita memberikan bantuan benih padi yang baik,” katanya pada program lawatan kerja ke Sabak Bernam di Parit 11 Timur semalam.

Beliau juga berharap bantuan tersebut membantu meningkatkan hasil tanaman padi yang berkualiti pada musim berikutnya.

“Ini kerana benih yang tidak sama duduk berdekatan boleh menyebabkan masalah kepada kualiti padi…(sepatutnya) satu blok kena benih sama,” katanya.

Sementara itu, pesawah, Mohd Nasir Arshad, 57, bersyukur atas bantuan yang sedikit sebanyak meringankan beban berikutan hasil tanaman padi dikerjakan atas tanah seluas 30 ekar (12.14 hektar) merudum sejak diserang penyakit berkenaan.

Mohd Nasir Arsad, 57

“Memandangkan musim ini pendapatan berkurang, jadi kebanyakan petani tiada modal untuk beli benih dan bahan input lain terutama racun rumput dan ular kerana kosnya terlalu tinggi.

“Semua petani mengalami kerugian terlalu besar sehingga sukar untuk menyara diri dan keluarga, inikan pula untuk meraih keuntungan,” kata bapa tiga anak yang sudah 25 tahun mengusahakan tanaman itu.

Seorang lagi penerima, Mohd Zaimi Idham Mohd Suhaimi, 29, berharap melalui pemberian benih itu, hasil tanaman padi kembali meningkat selepas terjejas selama 10 musim sejak 2015.

Mohd Zaimi Idham, 29

“Sepanjang mengusahakan tanaman ini lapan tahun lalu atas tanah milik keluarga dan sewa seluas 50 ekar (20.23 hektar), hasil pertanian musim ini jatuh paling teruk di kawasan Sungai Panjang dan Bagan Terap.

“Jika musim lalu, saya boleh dapat (hasil) lima tan bersamaan tiga ekar (1.21 hektar) tetapi musim ini hanya dua tan,” katanya.


Pengarang :