Fatimah Mat Kasar dikenali selepas videonya bersembang bersama jiran dalam bahasa Tamil tular di aplikasi TikTok. Foto ihsan Nur Sumaiyah Rahim
AGENDANASIONAL

Petah berbahasa Tamil, wanita Melayu hanya belajar dari jiran

SHAH ALAM, 16 SEPT: Memiliki kemahiran bertutur bahasa ibunda kaum lain dianggap istimewa apatah lagi ia jarang berlaku dalam masyarakat Melayu.

Namun, seorang wanita membuktikan ia bukan halangan untuknya menguasai bahasa Tamil dengan baik meskipun tanpa pendidikan formal atau kelas bahasa.

Fatimah Mat Kasar, 54, menarik perhatian warga maya selepas videonya bertutur bahasa itu bersama jiran tular di TikTok sehingga meraih lebih sejuta tontonan.

Membesar dalam kawasan kejiranan India di Buntong, Perak memberi kelebihan buat ibu kepada empat orang anak itu mempelajari perkataan dan sebutan melalui rakan sepermainan.

Menariknya, dia yang mesra disapa Makcik Timah memaklumkan sembilan adik beradiknya yang lain turut fasih bertutur Tamil malah mempraktikkannya apabila bersembang dengan jiran.

Fatimah Mat Kasar (kanan) bersama anak bongsunya Nur Sumaiyah Rahim, 18. Foto ihsan Nur Sumaiyah Rahim

“Kebanyakan orang akan terkejut apabila kami bertutur bahasa Tamil, tetapi kami memilih untuk mendiamkan diri jika berjumpa dengan kaum India tidak dikenali kerana nak dengar apa mereka cakap.

“Sebagai seorang perempuan, ada kalanya rasa malu juga walaupun ketika itu masih kecil tetapi kalau adik-beradik lelaki lain mereka lebih pandai dan lasak,” katanya yang juga boleh bertutur Kantonis.

Fatimah yang mengusahakan perniagaan burger berhampiran rumah berkata kebolehan menguasai bahasa lain menjadikan interaksi lebih mudah selain tidak terpinggir atau tertipu.

Kelebihannya juga digunakan untuk membantu seorang penerima vaksin yang tidak pandai berbahasa Melayu untuk mengisi borang pendaftaran.

“Ketika itu saya berbahasa Tamil dengannya dan menolongnya mengisi maklumat di borang vaksin. Dia terkejut, seperti tidak sangka saya boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut,” katanya.

Berbicara soal perpaduan, ibu tunggal itu turut menggalakkan generasi muda mempelajari lebih daripada satu bahasa kerana banyak manfaat bakal diperoleh selain memupuk keharmonian kaum.

“Kita tinggal di Malaysia, sekurang-kurangnya perlu tahu bahasa Tamil dan Kantonis. Rutin harian juga jadi lebih mudah jika pandai bercakap pelbagai bahasa,” katanya yang turut mengajar anak bongsu menguasai bahasa itu.


Pengarang :